June 08, 2010

Fakta



Fakta 1 : Coklat tidak menyebabkan jerawat.

Antara kepercayaan karut paling umum ialah coklat menyebabkan jerawat, terutama di kalangan remaja. Ini sama sekali tidak benar. Maklumat sekian lama jelas membuktikan bahawa coklat tidak menyebabkan jerawat. Sebaliknya, amalan pemakanan yang kurang baik, punca utama jerawat, tetapi kita lebih mudah menyalahkan coklat. Perubahan hormon ketika baligh, ditambah pengambilan makanan kurang zink dan banyak iodin, punca utama. Jerawat biasanya tumbuh apabila seseorang mencapai usia remaja. Pertambahan hormon menyebabkan kelenjar mengeluarkan sebum, yang mengalir ke permukaan kulit secara semula jadi. Jika pengalirannya tersekat, sebum terkumpul lalu membentuk jerawat. Ensiklopedia Dermatologi menjelaskan dengan tepat bahawa pemakanan tiada kena-mengena dalam pengurusan jerawat. Jadi, remaja tidak perlu menahan diri daripada memakan coklat kegemaraan mereka.


Fakta 2 : Coklat tidak menggemukkan.

Isu sebenarnya, apabila kita makan berlebihan. Perangkaan terbaru dari seluruh dunia menunjukkan, bilangan orang gemuk kian ramai. Makan sederhana, termasuk coklat, diiringi senaman kardiovaskular, adalah rahsia mengekalkan berat badan sihat. Yang penting, tahap kecergasan, bukan hanya kehilangan berat badan. Doktor dan pakar pemakanan, orang terbaik menasihat mengenai pengurusan berat badan. Bagaimanapun, petua termudah ialah makan secara sederhana. Sebenarnya, tiada sesuatu makanan tertentu yang boleh menggemukkan. Lazimnya, yang menentukan berat badan seseorang ialah jumlah dimakan. Sebagai peringatan, Persatuan Pemakanan Amerika menasihatkan : "…coklat boleh dimakan secara sederhana."


Fakta 3 : Penghidap diabetes boleh makan coklat.

Dalam tempoh 20 tahun lalu, pelbagai perubahan besar dalam nasihat pemakanan diberikan kepada penghidap diabetes. Persatuan Diabetes Britain, Persatuan Dietitik Amerika dan Persatuan Diabetes Malaysia kini mengakui bahawa pengambilan gula, atau makanan bergula, dalam jumlah terhad sebagai sebahagian diet tinggi serat dan rendah lemak, boleh diterima. Produk khusus untuk pesakit diabetes tidak menawarkan sebarang kelebihan kepada mereka dibandingkan dengan makanan biasa. Justeru, penghidap diabetes boleh menikmati coklat, tetapi secara sederhana, mengikut nasihat pakar pemakanan.


Fakta 4 : Coklat tidak sebabkan karies gigi.

Apabila anda mengalami sakit gigi yang teruk dan sedang menunggu berjumpa doktor gigi, coklat perkara terakhir bermain dalam fikiran. Namun jangan terburu-buru membuat kesimpulan, fikir dahulu faktanya. Kerosakan gigi disebabkan pelbagai faktor dan hakisan enamel pada gigi adalah proses dinamik. Asid yang terhasil daripada pecahan karbohidrat makanan di dalam mulut menyebabkan hakisan ini. Amalan menjaga kebersihan mulut dan pemflouridan air terbukti dapat mengurangkan karies di sesetengah negara, walaupun pengambilan gula tetap sama atau meningkat. Satu lagi berita baik, tanin pada koko mungkin membantu mencegah karies dengan mengurangkan pertumbuhan plak, manakala asid oksalik dalam coklat dikatakan dapat mengurangkan pengeluaran asid. Kini anda boleh terus makan coklat dan senyum tanpa segan silu. Tetapi jangan lupa berus gigi.


Fakta 5 : Coklat tidak sebabkan sakit jantung.

Dalam kes sakit jantung, coklat juga sering dipersalahkan. Punca utama peningkatan kes sakit jantung di Malaysia ialah gaya hidup kurang sihat dan kurang cergas. Merokok, kurang bersenam, pemakanan tidak seimbang dan berlemak tepu adalah penyebab sebenarnya. Sebaliknya, coklat mengandungi antioksidan, dikenali sebagai fenol, yang mungkin mampu mengurangkan tahap kepadatan lipoprotein (kolesterol LDL). Hasil kajian terkini menunjukkan bahawa asid stearik pada mentega koko atau lemak dalam coklat tidak memberi kesan kepada kolesterol darah. Untuk menjaga kesihatan, kita patut mengamalkan pengambilan makanan mengandungi banyak serat dan karbohidrat kompleks, tetapi kurang lemak dan gula. Kita juga perlu sentiasa bersenam. Pengambilan sedikit coklat sebagai sebahagian diet seimbang tidak akan menimbulkan masalah kepada jantung.


Fakta 6 : Coklat kuatkan tenaga batin.

Walaupun belum ada makanan terbukti dapat meningkatkan tenaga batin, coklat berupaya mencetuskan reaksi positif kepada tindakan kimia otak dan diketahui dapat memperbaiki mood seseorang. Aroma, rasa dan kelazatan coklat memberi nikmat sukar digambarkan. Nikmat dirasai apabila makan coklat disebabkan pengeluaran pelali semula jadi yang diketahui dapat mengurangkan kesakitan dan meningkatkan mood serta nikmat dirasai. Hakikatnya, jumlah pelali itu tidak mencukupi untuk menghasilkan kesan sedemikian. Sebaliknya besar kemungkinan gabungan rasa, kandungan khasiat dan ramuan psikoaktif coklat yang menjadi penyebab. Glenn Cardwell merumuskan: "Makan coklat antara nikmat sebenar kehidupan." Ini bermakna, coklat hadiah yang sempurna. Tidak dinafikan, kesihatan menjadi keutamaan hampir semua orang. Jika dimakan secara sederhana, walaupun setiap hari, coklat tidak memudaratkan. Jadi, janganlah bimbang hendak menikmati coklat, kerana ia antara anugerah kehidupan paling enak.

Soal Jawab

Soalan : Apa perbezaan antara coklat couverture dan coklat compound?
Jawapan : Perbezaan antara coklat couverture dan compound adalah lemak yang digunakan untuk membuat coklat tersebut. Coklat couverture mengunakan lemak dari biji koko yang dipanggil mentega koko (cocoa butter), sementara coklat compound mengunakan lemak sayuran eg kelapa sawit (vegetable fat).

Soalan : Kenapa coklat couverture perlu ditemper?
Jawapan : Coklat couverture perlu ditemper kerana mentega koko boleh membentuk 6 jenis krystal bergantung bagaimana ia disejukkan setelah ia dicairkan. Untuk membentuk coklat yang berkilat dan stabil pada suhu bilik <34°c,>mentega koko perlu membentuk krystal nombor 5 sahaja.

Soalan : Kenapa coklat saya bila keluar dari peti sejuk berpeluh?
Jawapan : Coklat anda berpeluh kerana proses pemeluawapan (condensation) berlaku. Proses ini akan berlaku pada semua benda yang bertukar tempat dari yang sejuk (eg peti sejuk) ke tempat yang panas dan lembap (eg dapur), wap di udara akan tersejat atas permukaan yang sejuk.


Soalan : Adakah coklat akan cair jika dibawa dalam kereta atau dipos?
Jawapan : Coklat couverture yang telah ditemper dengan betul tidak akan cair jika ia berada pada suhu <34°c. Jika anda bawa coklat dalam kereta yang berhawa dingin, coklat tidak akan cair, tetapi jika anda tinggalkan coklat dalam kereta ditengah panas, cairlah coklat jika suhu kereta itu >34°c.

Soalan : Untuk membuat coklat marble, bolehkah mengunakan coklat dari jenis yang berbeza (compound dan couverture)?
Jawapan : Tidak boleh. Untuk membuat marble coklat perlu mengunakan coklat dari jenis yang sama - eg couverture putih dan couverture hitam.

Soalan : Apakah faktor yang mempengaruhi tarikh luput (shelf-life) coklat?
Jawapan : Tarikh luput coklat bergantung pada jenis coklat (6 bulan hingga 1 tahun), dan keadaan penyimpanan. Untuk tahan lama perlu disimpan pada suhu antara 20°c ke 26°c (untuk couverture), tempat yang kering dan jauh dari barang yang berbau. Untuk coklat praline tarikh luput bergantung pada jenis inti yang digunakan, eg inti ganache (2 minggu hingga sebulan) dan keadaan penyimpanan.

Mengenal Coklat

 Secara amnya, coklat dibahagikan kepada 2 jenis iaitu coklat converture (coklat tulen) dan coklat compound. Tetapi pada pandangan masyarakat terdapat satu lagi jenis coklat yang terdapat dipasaran iaitu coklat masakan (cooking chocolate).

Hanya 2 jenis coklat ini sahaja yang sesuai untuk dibuat coklat :

1. Coklat converture (coklat tulen)
2. Coklat compound



Coklat Couverture (coklat tulen) merupakan coklat yang dihasilkan menggunakan cocoa butter (lemak koko) dan kerana itulah coklat yang diperbuat daripada coklat tulen lebih mahal harganya daripada coklat compound. Contoh coklat yang dibuat menggunakan coklat couverture ialah Ferrore Rocher ,Cadbury ,Fidani dan semua coklat mahal. Coklat tulen yang belum dibentuk seperti coklat bar atau coklat handmade hanya dijual di speciality shop. Selalunya ia dijual sebagai Dark Chocolate (cocoa,cocoa butter & gula), Milk Chocolate (cocoa, milk powder,cocoa butter & gula) dan White Chocolate (milk powder,cocoa butter & gula)

Coklat Compound merupakan coklat yang diperbuat menggunakan lemak sayur, sebagai pengganti cocoa butter.Boleh dijadikan coklat tetapi lebih keras berbanding dengan coklat yang diperbuat dari coklat tulen dan ianya lebih stabil pada suhu bilik dan paling sesuai untuk digunakan sebagai coklat coating. Coklat compound juga ada dijual sebagai Dark Chocolate, Milk Chocolate dan White Chocolate.

Bagi membezakan antara coklat tulen dan compound ialah dengan melihat takat kecairan coklat apabila dipegang. Apabila coklat mudah cair selepas dipegang maka kebarangkalian coklat tersebut terdiri daripada coklat tulen. 

June 07, 2010

Sejarah Coklat


Cuba anda bayangkan dunia tanpa coklat. Sudah pasti kita tidak tahu kenikmatan yang diperolehi daripadanya. Tetapi itulah yang berlaku sehinggalah tahun 1519, apabila penakluk Sepanyol bernama Hernando Cortez melihat pemerintah Aztec Mexico, Montezuma meminum air pahit yang dipanggil xocoatl (yang bererti minuman pahit) daripada mangkuk keemasan.

Pada waktu itu, Cortez hanya berminat pada mangkuk tersebut berbanding apa yang terdapat di dalamnya. Tetapi apabila kaum Aztec memberitahunya bahawa minuman tersebut diperbuat daripada kacang yang amat bernilai, bagaikan 100 biji boleh membeli hamba abdi yang sihat, barulah Cortez merasa kagum. Setelah berjaya menakluki Mexico, Cortez telah menghantar pulang xocoatl yang dipanggilnya chocolatl, ke Sepanyol sebagai hadiah kepada Raja Sepanyol.

Apabila tiba di Sepanyol, ia menjadi begitu popular. Keadaan ini menyebabkan rakyat Sepanyol seakan merahsiakannya daripada seluruh Eropah sehinggalah 100 tahun lamanya. Semasa lewat kurun ke-16, Mexico telah mengeksport 200 tan biji koko ke Sepanyol setiap tahun. Beberapa kapal yang membawa biji koko ini telah ditawan dan menyebabkan rahsia mengenainya telah bocor.

Pada kurun ke-17, coklat telah merebak ke Eropah Barat. Ia menjadi begitu popular di Switzerland, England, Belgium dan Belanda, dimana minuman pahit ini telah diperkayakan lagi dengan pemanis seperti gula dan susu. Sehingga kurun ke-19, coklat hanyalah merupakan sejenis minuman. Tetapi kira-kira 150 tahun lalu, ia telah dijadikan kepada coklat keping yang kita kenali dan gemari pada hari ini.