June 07, 2010

Sejarah Coklat


Cuba anda bayangkan dunia tanpa coklat. Sudah pasti kita tidak tahu kenikmatan yang diperolehi daripadanya. Tetapi itulah yang berlaku sehinggalah tahun 1519, apabila penakluk Sepanyol bernama Hernando Cortez melihat pemerintah Aztec Mexico, Montezuma meminum air pahit yang dipanggil xocoatl (yang bererti minuman pahit) daripada mangkuk keemasan.

Pada waktu itu, Cortez hanya berminat pada mangkuk tersebut berbanding apa yang terdapat di dalamnya. Tetapi apabila kaum Aztec memberitahunya bahawa minuman tersebut diperbuat daripada kacang yang amat bernilai, bagaikan 100 biji boleh membeli hamba abdi yang sihat, barulah Cortez merasa kagum. Setelah berjaya menakluki Mexico, Cortez telah menghantar pulang xocoatl yang dipanggilnya chocolatl, ke Sepanyol sebagai hadiah kepada Raja Sepanyol.

Apabila tiba di Sepanyol, ia menjadi begitu popular. Keadaan ini menyebabkan rakyat Sepanyol seakan merahsiakannya daripada seluruh Eropah sehinggalah 100 tahun lamanya. Semasa lewat kurun ke-16, Mexico telah mengeksport 200 tan biji koko ke Sepanyol setiap tahun. Beberapa kapal yang membawa biji koko ini telah ditawan dan menyebabkan rahsia mengenainya telah bocor.

Pada kurun ke-17, coklat telah merebak ke Eropah Barat. Ia menjadi begitu popular di Switzerland, England, Belgium dan Belanda, dimana minuman pahit ini telah diperkayakan lagi dengan pemanis seperti gula dan susu. Sehingga kurun ke-19, coklat hanyalah merupakan sejenis minuman. Tetapi kira-kira 150 tahun lalu, ia telah dijadikan kepada coklat keping yang kita kenali dan gemari pada hari ini.